Saturday, June 10, 2006

Dr Harussani
Zakaria berkata, program konsert 'Sure Heboh' yang dianjurkan oleh sebuah stesen televisyen swasta di negara ini tetap haram walaupun selepas ia ditukar nama menjadi 'Jom Heboh'.


Sebuah akhbar tempatan di sini melaporkan, Harussani menyifatkan program itu tetap haram kerana ia boleh melalaikan umat Islam dengan hiburan serta pergaulan bebas.

"Saya bersedih program itu masih diteruskan dan kini timbul pula Fiesta Hurra yang diterbitkan oleh televisyen milik kerajaan sendiri” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Keluarga Islam di Masjid Negeri Perak baru-baru ini.

Menurutnya, program yang diadakan bagi kempen pesta bola sepak Piala Dunia itu sudah bertukar menjadi pesta hiburan dan tarian tanpa mempunyai batas pergaulan lelaki dan perempuan.

Beliau berkata, sebagai Mufti dan pemimpin Islam, beliau bertanggungjawab untuk membuat kenyataan seperti ini demi menjaga kehormatan umat Islam.
Katanya ketika orang lain sibuk membincangkan masa depan ekonomi, pendidikan dan kebudayaan masing-masing, umat Islam negara ini pula asyik memikirkan tentang hiburan.

Majlis Mufti Malaysia dua tahun lepas memutuskan bahawa konsert 'Sure Heboh' adalah haram di sisi Islam kerana ia melalikan umat dan menggalakkan maksiat di kalangan generasi muda.

Majlis Mufti berpendapat konsert itu merupakan sesuatu yang melalaikan oleh itu ia wajar dihentikan.

Dalam perkembangan lain, Harussani berkata, umat Islam negara ini juga perlu serius dalam usaha menangani isu murtad kerana ia dikatakan telah membabitkan lebih 100,000 orang terutama remaja Melayu.

Harussani juga berkata, pihaknya juga baru-baru ini menerima surat daripada sebuah badan Kristian dari Amerika Syarikat yang mendakwa 40,000 orang Islam warganegara Malaysia telah memeluk agama mereka.

Umat Islam tidak boleh memandang remeh perkara ini atau bimbang untuk membicangkannya dengan alasan ia sebagai isu sensitif, lapor akhbar berkenaan.
'' Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu '' (Al-Baqarah, 2:120)

No comments: